Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

LTDL 2020 : Sapura Cycling Team optimis pertahan kejuaraan

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Menjelang jelajah berbasikal Le Tour De Langkawi LTDL 2020

Pasukan Sapura Cycling, TSC optimis mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas meskipun tanpa kehadiran pemenang jersi kuning Benjamin Dyball.

Pengurus Pasukan TSC Sayuti Zahit mengakui, sukar untuk mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan pelumba dari Australia itu, namun barisan pelumba sedia ada diyakini mampu memberikan keputusan yang diharapkan

TSC bermula dengan sederhana pada 2017 di mana mereka menang 4 peringkat, dengan keputusan lebih baik pada 2018, sebelum menamatkan tahun 2019 dengan memenangi 24 peringkat perlumbaan serta 4 jersi kuning.

Kemenangan paling mengujakan apabila Dyball memenangi jersi kuning pada LTdL 2019, menjadikan TSC satu kuasa baru di Asia.

Bagaimanapun edisi ke-25 kali ini yang berstatus UCI ProSeries, Sayuti mengakui saingan akan lebih mencabar dengan penyertaan pasukan “World Tour” dan “Pro Continental”.

Justeru, Marcus Culey dijadikan sandaran dengan telah merekodkan keputusan memberangsangkan di Tour de Selangor selain mengambil pelumba Nur Aiman Zariff dan Muhamad Zawawi Azman, di samping pelumba berpengalaman dari Belanda Roy Eefting.

TSC turut melengkapkan pasukan dengan memanggil pelumba lebuh raya Turki dan juara ujian masa Ahmet Orken; bekas pelumba “Floyd Cycling Team”, Serghei Tvetcov dari Romania dan kemungkinan taruhan utama untuk memenangi jersi kuning, Pierpaolo Ficara dari Itali yang sebelum ini bersama pasukan “Amore & Vita-Prodir”.

Selain itu TSC telah merangka persiapan awal dengan mengambil bahagian dalam “Cambodia Bay cycling Tour” pada 6 Januari ini, seterusnya “New Zealand Cycle Classic”, “Race Tourquay” dan “Jayco Herald Sun Tour” di Australia, sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Cabaran lapan peringkat edisi Jubli LTdL ini akan berlangsung dari 7 hingga 14 Februari, meliputi 1,095.7 kilometer merentasi sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan , Selangor, Perak, Penang dan Kedah.