Friday, 14 August 2020

updated 10:57 AM UTC, Aug 14, 2020

Lin Dan umum bersara

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Pemain badminton handalan dunia yang juga dua kali juara Olimpik, Lin Dan akhirnya mengumumkan persaraan selepas hampir 20 tahun mewarnai arena badminton dunia.

Pengumuman itu sekaligus mengesahkan pemain berusia 36 tahun itu tidak akan beraksi pada Olimpik Tokyo, tahun depan.

Juara dunia lima kali itu menerusi catatan media sosialnya berkata ia satu keputusan yang sukar dibuat dan telah mendedikasikan segalanya untuk sukan dicintainya itu.

Lin Dan juga berterima kasih kepada keluarga, jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong yang sentiasa menyokong ketika kemuncak prestasi dan waktu sukar.

Kerjaya pemain kidal yang pernah memegang takhta ranking pertama dunia dalam tempoh yang sangat lama itu telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini atas faktor umur dan kecederaan.

Lin Dan kerap menyatakan hasrat untuk beraksi di Olimpik Tokyo, tetapi kedudukannya di ranking ke-19 dunia dan penangguhan sukan itu akibat COVID-19 menjadikan impian itu gagal menjadi kenyataan.

Keputusan persaraan Lin Dan hadir setahun selepas seteru utamanya Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya, pada Jun tahun lalu.