Luqman Hakim sah sertai kelab Belgium

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sah menyertai kelab Belgium; KV Kortrijk.

Penyertaan itu membolehkan impian bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari itu berkelana ke luar negara tercapai.

Perkara itu diumum Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam satu kenyataan.

Menurut FAS, persetujuan antara persatuan itu dengan KV Kortrijk untuk perpindahan Luqman sudah dicapai.

Pemain itu akan terbang ke Belgium untuk bersama dengan kelab terbabit selepas segala proses dokumentasi selesai.

FAS optimis pendedahan di luar negara ialah perkara diperlukan Luqman ketika ini.

Pemain berusia 18 tahun itu dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Beliau turut muncul sebagai penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 Tahun Konfederasi Bolasepak Asia 2018 walaupun sekadar beraksi dalam dua perlawanan.

Selain itu, beliau juga menjadi tonggak buat skuad Bawah 19 Tahun pada Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN 2019.