Friday, 7 August 2020

updated 4:04 PM UTC, Aug 7, 2020

Keputusan penganjuran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia diputus masa terdekat

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Presiden Persatuan Badminton Malaysia, BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyatakan keputusan sama ada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia akan diteruskan atau tidak November ini, dijangka diputuskan pada mesyuarat ahli majlis BAM dalam waktu terdekat.

Menurut Norza, badan induk itu perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum meneruskan penganjuran kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai berjumlah 3.2 juta ringgit.

Antaranya, adakah perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi membeli pensanitasi tangan, selain jangkaan kemerosotan kehadiran penyokong, kerana perlu mengamalkan penjarakan sosial satu meter sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sebelum ini BAM dikatakan tidak berhasrat meneruskan penganjuran Terbuka Malaysia yang merupakan Jelajah Dunia BWF 750, kerana dikatakan perlu menanggung kos yang agak tinggi.

Berdasarkan perancangan awal, Terbuka Malaysia dijadual berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April, namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyusun semula kalendar kejohanan 2020 ekoran penularan COVID-19 yang menyaksikan ia ditunda kepada November ini.

Penyusunan kalendar kejohanan 2020 oleh BWF menyaksikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik hanya akan dikira menerusi kalendar musim 2021.