Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Jelajah Malaysia 2017,Peringkat Ke-4, Brendon Davids Kekal Menyarung Jersi Kuning

ALOR SETAR - Jelajah Malaysia 2017, pada peringkat keempat semalam, pelumba Olivers Real Food Racing, Brendon Davids kekal menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 29 saat di hadapan pelumba Sapura, Victor Nino Corredor.

Perlumbaan peringkat ke-4 dari Kulim ke Gunung Jerai menyaksikan rakan sepasukan Corredor, Wilmar Jahir Perez Munoz muncul pemenang, sekaligus merampas jersi polkadot raja bukit daripada Davids.

82 pelumba dari 18 pasukan meneruskan perlumbaan bagi peringkat ke-4 sejauh 101.3 kilometer dari Kulim ke Gunung Jerai.

Laluan ke Gunung Jerai dengan ketinggian 1217 dari aras laut adalah kali pertama diperkenalkan sepanjang 53 edisi jelajah tertua negara ini.

Pelumba perlu melalui 3 zon pecutan dan satu zon pendakian.

Ternyata percaturan pasukan Sapura menjadi; dengan Mohamad Izzat Helmi Abd Halil mendominasi dua zon pecutan di kilometer 55.3 Bukit Selambau dan di Kilometer 88.2, Gurun.

Manakala zon pecutan pertama, Merbau; diungguli pelumba 7 Eleven Roadbike Filipina, Dominic Perez.

Memasuki zon pendakian Gunung Jerai pula, empat pelumba bersaing hebat menyaksikan pelumba Sapura , Wilmar jauh meninggalkan peloton dengan defisit masa 3 minit 99 saat.

Di 5 kilometer terakhir, Wilmar yang melakukan breakaway dicabar pelumba CCN Cycling Team, Samuel Volkers yang melakukan attack.

Namun pelumba berusia 31 tahun itu kekal di depan mencecah garisan penamat dengan masa 2 jam 50 minit 41 saat.

Volkers kedua, ketinggalan 41 saat diikuti rakan Corredor ketiga.

Wilmar turut merampas jersi raja bukit daripada Brendon Davids yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Walaupun kehilangan jersi polkadot, namun Davids kekal menyarung jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Jersi hijau raja pecut pula terus disandang Muhammad Nur Amirul Fakharuddin dari Terengganu Cycling Team TSG.

Jersi kelabu pelumba muda kekal milik, Ryan Thomas dari pasukan Olivers Real Food Racing manakala jersi merah pelumba terbaik Malaysia milik Muhamad Zawawi Azman dari pasukan Sapura.

(Sumber - Dalet Beritartm)