Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 2:48 PM UTC, Sep 26, 2017

Sultan Selangor Sampaikan Insentif KL2017 Kepada Atlet, Jurulatih Selangor

KLANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan insentif Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berjumlah RM540,000 kepada 98 atlet dan sembilan jurulatih dari negeri itu.

Pemenang pingat emas menerima RM5,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000) manakala jurulatih pula menerima RM5,000 masing-masing.

Pada edisi ke-29 bulan lepas itu, 41 atlet Selangor meraih emas, 29 atlet memenangi pingat perak manakala 28 menyumbang gangsa.

Upacara penyampaian insentif berkenaan diadakan di Istana Alam Shah, di sini. Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya menzahirkan kebanggaan baginda dengan kejayaan atlet dari Selangor serta turut kagum terhadap komitmen serta kegigihan jurulatih yang tidak jemu berkongsi kepakaran dan pengalaman.

Baginda menyatakan pemberian insentif tersebut sebagai pemberi motivasi dan azimat kepada atlet berkenaan untuk mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang dalam kejohanan akan datang.

Dalam temasya dwitahunan yang berlangsung 19 hingga 30 Ogos lepas, Malaysia, selaku tuan rumah menghantar 844 atlet yang mana 142 atlet (16.8 peratus) daripadanya adalah dari Selangor dan bertanding dalam 32 acara sukan.

((BERNAMA))