Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

Skuad B-18 harap dapat jalani latihan awal

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 27 Mei - Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan berharap mendapat kebenaran untuk menjalani kem latihan berpusat lebih awal menjelang Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan yang dijadual Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, menjelaskan Kejuaraan B-19 AFC 2020 itu merupakan medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia.

Skuad B-18 kebangsaan berharap muncul pasukan negara pertama layak secara merit beraksi di Piala Dunia ini.

Beliau berpendapat, pasukannya wajar diberikan peluang sama seperti Program ’Road To Tokyo 2020’ yang mendapat kelonggaran khas daripada kerajaan bermula 1 Jun, sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, tahun depan.

Sebelum ini, kerajaan telah memberi kelonggaran khas melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet di bawah Program ‘Road To Tokyo 2020’ kembali menjalani latihan harian bermula bulan depan.

Sesi latihan berkenaan akan dijalankan di tiga Kem Latihan Berpusat yang telah ditetapkan, iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi (28).

Setakat ini, aktiviti bola sepak profesional di Malaysia yang ditunda sejak 16 Mac lalu hanya dibenarkan kembali bersambung pada September depan dengan semua pasukan bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.