Monday, December 16, 2019
updated 4:59 AM UTC, Dec 16, 2019

Atlet wushu Loh Choon How hadiah pingat emas pertama buat Malaysia dalam Sukan SEA Filipina

  • Published in Sukan


MANILA, FILIPINA - Atlet wushu negara, Loh Choon How menceriakan kontinjen negara apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA edisi ke-30 selepas memungut 9.68 mata.

Choon How menyumbang pingat emas itu dalam acara Taijiquan lelaki dalam aksi yang berlangsung di World Trade Center mengalahkan 8 peserta lain. Gerakan memukau atlet berusia 26 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menambat hati para juri untuk menobatkan beliau sebagai juara.

Pingat perak dimenangi atlet Brunei Heng Yu Hosea Wong yang mengumpul 9.59 mata. Manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Parantac Daniel yang mengutip 9.56 mata.

Sementara itu, Ong Weng Son yang beraksi dalam acara Taolu Changquan lelaki memenangi perak.

Manakala Sydney Chin terpaksa berpuas hati di tempat keempat acara Tajiquan wanita.

Dalam reaksinya, Choon How mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran sebelum melangkah masuk ke gelanggang. Sebaliknya, beliau hanya berazam mahu lakukan yang terbaik. Kemenangan turut menjadi pendorong untuknya memberikan cabaran dalam acara Taijijian kategori lelaki esok.