Monday, December 16, 2019
updated 4:56 AM UTC, Dec 16, 2019

Sukan SEA 2019 bermula dengan rasmi dan gemilang di arena tertutup terbesar di dunia

  • Published in Sukan


BULACAN, FILIPINA - Temasya Sukan SEA ke-30 dibuka secara rasmi dengan penuh tradisi dan gilang gemilang di arena tertutup terbesar di dunia, Philippines Arena, di Bulacan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Manila.

Buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun temasya dwi tahunan itu, upacara perasmiannya berlangsung dalam arena tertutup dan bukannya di stadium.

Sukan SEA kali ini juga menyaksikan kawah obor yang dinyalakan sepanjang temasya berlangsung, diletakkan di lokasi berbeza, iaitu di Stadium Olahraga New Clark yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bulacan, dan upacara menyalakan obor itu disiarkan melalui skrin di arena yang berkapasiti 55,000 orang itu.

Acara perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina oleh Lani Misalucha diikuti persembahan bertenaga bertemakan ‘The Roots of our Strengh’ yang menunjukkan pelbagai kebudayaan dan warisan negara itu menerusi siri tarian pahlawan.

Perarakan kontinjen-kontinjen diiringi sorakan ceria para penonton, sebaik sahaja memasuki arena itu dalam susunan mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dengan kontinjen tuan rumah menjadi pasukan terakhir memasuki arena.

Kontinjen Malaysia didahului pembawa Jalur Gemilang dan juara dunia boling 2018 Rafiq Ismail, diikuti atlet dan pegawai termasuk Chef-de-mission Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan dua timbalannya Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli.

Dengan berbaju Melayu dan berbaju kurung berwarna putih, lengkap bersamping dan tengkolok bagi lelaki dan selendang bermotifkan Jalur Gemilang bagi wanita.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembukaan rasmi Sukan SEA ke-30.

Peninju berkelas dunia, Manny Pacquiao dan Nesthy Petecio diberikan penghormatan sebagai pembawa obor, sebelum menyalakan kawah obor yang menandakan bermulanya temasya 12 hari itu.

Dengan tema ‘We Win As One’, Sukan SEA kali ini akan berlangsung selama 12 hari disertai lebih 8000 atlet menyertai 530 acara daripada 56 jenis sukan yang berlangsung di tiga kluster utama iaitu Manila, Clark dan Subic.

Ini merupakan kali keempat Filipina menjadi tuan rumah, selepas 1981, 1991 dan 2005.