Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Selangor Julang Piala Malaysia Buat Kali Ke-33

Shah Alam - Selangor melengkapkan 'Misi 33' dengan sentuhan Ahmad Hazwan Bakri untuk merangkul Piala Malaysia 2015 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ahmad Hazwan menyumbang dua gol seawal minit ketiga dan minit ke-47 bagi menamat penantian selama 10 tahun serta gelaran ke-33 dalam sejarah bola sepak berprestij itu.

Lebih manis, kejayaan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu merupakan hadiah paling bermaksa untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyambut ulang tahun keputeraan baginda ke-70 semalam.

Ahmad Hazwan turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan final.

Selaku juara, Selangor membawa pulang Piala Malaysia yang disampaikan oleh adinda Sultan Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang mewakili Sultan Selangor, kepada kapten pasukan, Muhd Shahrom Abdul Kalam.

Perlawanan final itu turut disaksikan oleh Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, yang merupakan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.