Monday, December 16, 2019
updated 5:05 AM UTC, Dec 16, 2019

41 ditahan selepas aksi bola sepak Malaysia-Indonesia

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - 41 individu ditahan susulan kekecohan selepas aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

14 daripadanya merupakan penyokong Garuda.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan penahanan itu.

Mereka yang ditahan adalah penyokong kedua-dua pasukan dan telah dibebaskan selepas proses dokumentasi dijalankan.

Semalam, berlaku sedikit kekecohan sejurus selepas perlawanan berakhir apabila ada dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan membuat provokasi melampau antara satu sama lain di luar stadium.

Segelintir penyokong dari kedua-dua pihak saling membaling botol minuman serta kon, dan membakar mercun.

Keadaan itu berjaya diredakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Penyokong Indonesia kemudiannya keluar dari stadium secara berperingkat dengan pengawasan polis.

Pada aksi malam tadi, Malaysia membenam Indonesia 2-0.