Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 3:24 PM UTC, Oct 22, 2017

Persiapan Temasya KL2017 Di Fasa Akhir - Khairy

KUALA LUMPUR - Persiapan bagi penganjuran temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 atau KL2017) yang kini di fasa akhir berada pada tahap memuaskan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang turut mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pengelola KL2017 berkata pihaknya turut berpuas hati dengan persiapan yang telah dan sedang dilaksana 18 jawatankuasa yang ditubuhkan.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkaitan persediaan dan persiapan KL2017.

Khairy berkata dari segi keselamatan, pihak berkenaan kini bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman.

Menurutnya, semua lokasi pertandingan termasuk venue utama iaitu Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil telah siap dan kini sedang melalui proses pelengkapan peralatan.

KL2017 katanya, mendapatkan khidmat 13,000 sukarelawan iaitu 9,000 untuk Sukan SEA dan 4,000 untuk Sukan Para ASEAN, dan mereka mengikuti dua fasa latihan selama lebih 100 hari mencakupi kursus umum seperti tugas dan tanggungjawab sukarelawan serta latihan spesifik mengikut tugasan.

Menurutnya, atlet negara dibantu 390 jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai kontinjen yang menjadikan jumlah keseluruhan kontinjen negara seramai 1,264 orang iaitu penyertaan terbesar kontinjen negara dalam sejarah penyertaan Sukan SEA sejak 1959.

Perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur ialah pada 19 Ogos dan penutupannya pada 30 Ogos manakala perasmian Sukan Para ASEAN ialah pada 17 Sept dan penutupan pada 23 Sept.

((BERNAMA))