Sunday, September 24, 2017
vital-top
updated 3:13 PM UTC, Sep 23, 2017

UNIMAP Kekal Juara SUKUM 2017

KANGAR - Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempertahankan kejuaraan 10 kali berturut-turut pada Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM 2017) yang berakhir semalam.

Pada kejohanan yang bermula 29 Julai lepas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak, UniMAP meraih 21 pingat emas, 12 pingat perak dan tujuh pingat gangsa mengatasi pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dan tuan rumah, UPSI di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dalam kenyataan berkata kejuaraan yang dipertahankan sejak 2008 itu menyaksikan pasukan olahraga terus cemerlang menyumbangkan 15 pingat emas sekali gus membolehkan UniMAP mengekalkan status jaguh olahraga antara universiti-universiti di Malaysia.

SUKUM 2017 disertai oleh 21 pasukan yang terdiri daripada semua Universiti Awam (UA) di Malaysia serta satu pasukan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dengan 21 acara sukan dipertandingkan.

Acara olahraga mempertaruhkan pingat emas terbanyak iaitu 44 daripada keseluruhan 111 pingat yang ditawarkan pada temasya sukan berkenaan.

((BERNAMA))