Monday, August 21, 2017
vital-top
updated 4:33 AM UTC, Aug 21, 2017

Rancang Hantar Pemain Golf MSSM Ke Luar Negara – Datuk Seri Mahdzir

KAJANG - Kementerian Pendidikan sedang berbincang dengan Persatuan Golf Malaysia (MGA) untuk berkolaborasi melatih pemain golf peringkat sekolah yang berpotensi menjadi pemain golf profesional antarabangsa.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata antara perkara yang dibincangkan ialah jumlah pelajar yang akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan pelajaran sambil mengikuti latihan sukan golf.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mesra Menteri Pendidikan bersama atlet murid golf pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kelab Golf Saujana Impian di sini.

Antara perkara lain yang dibincangkan bersama MGA ialah sama ada untuk menghantar murid selepas menamatkan tingkatan tiga bagi menyambung persekolahan di Miami atau Florida contohnya dan seterusnya mengikuti program ijazah, katanya.

Tambah Datuk Seri Mahdzir, Bahagian Sukan dan Bahagian Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mendapatkan khidmat Persatuan Golf Malaysia dari segala aspek sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, setakat ini pemain golf profesional yang mengikuti latihan di AS adalah atas perbelanjaan sendiri.

((BERNAMA))