Logo

Anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Seorang anggota polis maut dilanggar kenderaan dipandu pemandu dipercayai mabuk.

Ketika kejadian pukul 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya Plaza Tol Kajang Selatan, lebuhraya Kajang-Seremban, (LEKAS).

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan dan kepala akibat dirempuh kenderaan pemandu terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

Ketika tiba di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki mabuk sehingga melanggar seorang anggota polis dan merempuh kenderaan polis di tepi jalan.

Pemandu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, melalui laman facebook, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Safwan.

Tan Sri Abdul Hamid memaklumkan, jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.