Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Wang habuan bukan ukuran - Pengurus Harimau Malaya

  • Published in Sukan

BUKIT JALIL - Pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Yusoff Mahadi percaya semua pemain mempunyai semangat membara untuk berdepan Thailand esok malam.

Biarpun skuad Gajah Perang kini sedang dalam motivasi tinggi kerana dijanjikan habuan lumayan sekiranya dapat menewaskan Malaysia dan Vietnam.

Ia tidak mematah semangat Harimau Malaya yang tidak menjadikan wang habuan sebagai ukuran.

Sokongan peminat dan semangat beraksi untuk negara sudah memadai.

Begitupun, bagi menghargai pemain dan staff pasukan ganjaran tetap ada menanti mereka.

Dikatakan, media Thai melaporkan kesemua staf dan pemain dijanjikan ganjaran AS$263 ribu jika menang ke atas Malaysia.

Bukan itu sahaja, ganjaran menewaskan Vietnam pula dijangka lebih lumayan.

Thailand berada di kedudukan teratas kumpulan G dengan tujuh mata, berkongsi mata bersama Vietnam dan diikuti rapat UAE yang mengumpul enam mata di kedudukan ketiga.

Malaysia pula mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat, disifatkan sebagai underdog dalam aksi malam esok melayan kunjungan Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tidak gentar, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terdahulu berkata, telah mengatur strategi tersendiri bagi mengatasi kelajuan permainan bahagian hadapan Thailand.

Para pemain juga tampak tidak tertekan meskipun dijangka bakal berdepan sengatan berbisa Thailand.

Sementara itu, sokongan semangat para penyokong turut dituntut baik di stadium mahupun yang menyaksikan perlawanan menerusi siaran secara langsung.

Aksi Harimau Malaya bertemu Gajah Perang boleh disaksikan di TV2 dan RTM SportsHD, bermula pukul 8.30 malam.