Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 3:24 PM UTC, Oct 22, 2017

KL2017: Aspek Keselamatan Ditahap Sangat Tinggi - Khairy

PUTRAJAYA - Kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjamin kelancaran penganjuran Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berada pada tahap yang sangat tinggi, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siri latihan bagi menangani ancaman keganasan di berapa lokasi strategik menjelang temasya itu yang akan berlangsung mulai 19 Ogos depan.

Beliau berkata semasa mengulas perkembangan tahap keselamatan venue KL2017 pada sidang media di sini.

Terdahulu, beliau melancarkan lagu 'Bumi Tercinta' terbitan Aman Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan mengenai penubuhan Pasukan Petugas Khas AntiKeganasan Sukan SEA KL 2017 bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang temasya sukan itu.

Khairy berkata pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga diletakkan dalam keadaan bersedia dan akan digerakkan sekiranya keadaan memerlukan.

Aspek keselamatan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Keselamatan Sukan SEA yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

((BERNAMA))