Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Ridzuan Puzi rangkul gangsa

  • Published in Sukan

DUBAI - Atlet paralimpik kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi merangkul pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki T36 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Atlet Para Terbaik Asia 2018 itu mencatat masa 11.97 saat dan catatan itu tidak jauh daripada rekod terbaiknya, 11.87 saat yang dicatatnya pada Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Atlet Australia, James Turner melakar rekod dunia baharu, 11.72 saat untuk meraih pingat emas manakala Yang Yifei dari China merangkul perak dengan mencatatkan rekod baharu Asia 11.79 saat, memadamkan rekod sebelumnya yang dipegang Mohamad Ridzuan di Jakarta.

Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan, pernah memenangi pingat emas acara sama pada edisi 2015 di Doha, Qatar, selain memperoleh pingat perak pada edisi 2017 di London, United Kingdom.

Pingat gangsa daripada atlet berusia 32 tahun itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga pingat, termasuk dua perak daripada Jonathan Wong Kar Gee dalam kategori lompat jauh lelaki T12 dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori lontar peluru F20.