Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Stadium Nasional Bukit Jalil Dicalonkan Pada Festival Seni Bina Dunia 2017

KUALA LUMPUR - Stadium Bukit Jalil yang sudah dinaik taraf baru-baru ini telah dicalonkan untuk bertanding dalam kategori Bangunan Baharu dan Lama di Festival Seni Bina Dunia 2017, yang akan diadakan November depan di Arena Berlin, Jerman.

Stadium yang dibina pada 1994, adalah antara 17 bangunan yang dicalonkan bagi acara itu termasuk Kauri Timber Building di Auckland, New Zealand dan Grand Pera, Istanbul, Turki.

Menurut laman web Festival Seni Bina Dunia 2017 www.worldarchitecturefestival.com, kategori Bangunan Baharu dan Lama, antara lain, terbuka kepada projek-projek kreatif guna semula atau adaptasi, ruangan awam atau reka bentuk bandar, kuarters bandar yang dibangunkan semula dan pusat bandar yang dihidupkan semula.

Kesemua projek yang layak bertanding dalam kategori itu pada festival tahunan untuk arkitek dan profesional hiasan dalaman itu, perlu dilengkapkan antara 1 Jan 2016 dan 1 Jun tahun ini.

Stadium Nasional Bukit Jalil adalah sebahagian daripada projek pembangunan semula yang menelan kos RM499 juta sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur, dan projek itu termasuk menaik taraf dan mencantikkan Stadium Hoki Nasional dan Pusat Akuatik Kebangsaan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasminya melahirkan rasa gembira beliau apabila Bukit Jalil yang diindahkan semula dicalonkan bagi anugerah Festival Seni Bina Dunia 2017.

((BERNAMA))