Wednesday, November 20, 2019
updated 12:42 PM UTC, Nov 20, 2019

Piala Malaysia :JDT benam Kedah 3-0

  • Published in Sukan
Foto: JOHOR Southern Tigers

BUKIT JALIL - Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan status selaku pasukan gergasi bola sepak tanah air apabila menjulang Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Kedah 3-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT menebus kekecewaan final edisi 2014 di venue sama selain melakar kemenangan kedua ke atas Kedah di pentas final selepas kejayaan menamatkan kemarau 26 tahun menjuarai Piala Malaysia pada edisi 2017.

Kejayaan merangkul piala berprestij itu hadir lima bulan selepas skuad kendalian ketua jurulatih Benjamin Mora dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut, Jun lepas.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan ketiga JDT dalam saingan musim ini apabila turut meraih gelaran juara Piala Sumbangsih sementara Kedah yang menjuarai Piala FA terpaksa melupakan hasrat menambah koleksi kejuaraan.

Pada perlawanan yang disaksikan 82,420 penyokong itu, JDT ternyata berada di kelas tersendiri apabila menyajikan persembahan cemerlang seawal permainan sehingga menghasilkan dua gol di separuh masa pertama sebelum melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi gol tunggal di separuh masa kedua.