Wednesday, November 20, 2019
updated 12:03 PM UTC, Nov 20, 2019

JFA pilih Pengadil Malaysia adili perlawanan Jepun menentang Venezuela

  • Published in Sukan

Foto : Football Association of Malaysia (Official)

Kualiti yang dimiliki pengadil bola sepak tempatan terus mendapat perhatian luar apabila menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Jepun, JFA untuk mengendalikan dua perlawanan membabitkan skuad Samurai Biru bawah 22 tahun.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan nama Mohd Amirul Izwan Yaacob bagi mengadili Perlawanan Persahabatan Tier 1 antara Jepun menentang Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka yang akan berlangsung pada 19 November ini.

FAM menerusi laman rasmi Facebook turut memaklumkan, Amirul Izwan terlebih dahulu akan bertindak sebagai pegawai keempat bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 2, Jepun menentang Colombia di Stadium EDION Hiroshima pada 17 November ini.

Turut dipilih adalah Mohd Yusri Muhamad selaku penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan yang merupakan sebahagian daripada Piala Cabaran Kirin 2019.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah memilih Mohd Amirul Izwan dan Mohd Yusri, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil satu bagi mengendalikan aksi Kumpulan B, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Kuwait dan Taiwan di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait pada 14 November ini.