Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 3:24 PM UTC, Oct 22, 2017

Kerajaan Pertimbang Insentif Atlet Sumbang Pingat Di Deaflympics

PETALING JAYA - Kerajaan akan mempertimbang pemberian insentif kepada atlet pekak yang berjaya menyumbang pingat di Temasya Sukan Deaflympics ke-23 yang bakal berlangsung di Samsun, Turki dari 18 hingga 30 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jumlah insentif yang akan diberikan.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen Malaysia, Kamarzaman Harun.

Majlis ringkas penyerahan itu dibuat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

Sementara itu, Kamarzaman yang juga presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia, berkata Malaysia menyasarkan dua pingat emas bagi temasya tersebut melalui acara badminton.

Kontinjen negara yang terdiri daripada 30 orang menyertai tiga acara iaitu badminton, olahraga dan boling.

Temasya kali ini mempertaruhkan 21 acara melibatkan 109 negara dan 4,500 peserta dari seluruh dunia.

 

 ((BERNAMA))