Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 3:24 PM UTC, Oct 22, 2017

Obor Sukan Sea Merentasi Tasik Temenggor Dengan Rakit Buluh

GERIK - Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 dibawa merentasi Tasik Temenggor, di sini, dengan menaiki rakit buluh sebagai gimik penutup larian berkenaan bagi peringkat negeri Perak hari ini.

Obor yang dibawa oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim itu berakit sejauh 500 meter dari jeti Pejabat Perhutanan pukul 10 pagi tadi sebelum berhenti di jeti awam, dekat Banding, di sini, pada 11 pagi.

Turut mengiringi larian obor di atas tujuh buah rakit buluh itu ialah Anggota Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman, ADUN Temenggor Salbiah Mohamed dan ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman.

Larian obor itu turut disertai pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, Kolej Komuniti Gerik dan pelajar Sekolah Menengah Agama Tan Sri Ghazali Jawi.

Majlis penutup larian obor disempurnakan oleh Hasbullah dan obor akan diserahkan kepada negeri Kelantan dalam satu majlis di Dataran Makan-Makan di Jeli petang ini.

Aznel berkata beliau berasa bangga kerana berpeluang membawa obor Sukan SEA menggunakan rakit yang dianggap sebagai satu cabaran.

Larian obor peringkat negeri Perak berlangsung di tujuh daerah iaitu di Kerian, Larut Matang Selama, Bagan Datuk, Batang Padang, Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik sejak 7 Julai lepas.

 

((BERNAMA))