Sunday, September 24, 2017
vital-top
updated 3:13 PM UTC, Sep 23, 2017

Larian Obor Sukan Sea Ke-29 Di Kuala Kangsar Hari Ini

KUALA KANGSAR - Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 peringkat daerah Kuala Kangsar bermula di Dataran Pavillion di sini.

Pegawai Daerah Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria memulakan larian dengan membawa obor pada pukul 8.30 pagi ini setelah pelepasan dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Lubuk Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak.

Larian itu kemudian diakhiri oleh Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid yang membawa obor pada pukul 9.30 pagi ini.

Mastura berkata pemilihan Kuala Kangsar sebagai lokasi larian obor Sukan SEA merupakan satu penghormatan kepada daerah itu dan sambutan yang ditunjukkan rakyat menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara.

Menurut Mastura, beliau bangga dengan semangat yang ditunjukkan rakyat dalam larian itu dan berharap anak-anak di sini akan menjadi atlet negara suatu hari nanti.

Larian obor di Perak diadakan di tujuh daerah iaitu Kerian, Larut Matang Selama, Bagan Datuk, Batang Padang, Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik mulai 6 Julai hingga 12 Julai ini.

Larian Obor KL2017 dijadual berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29.

((BERNAMA))