Wednesday, November 20, 2019
updated 12:35 PM UTC, Nov 20, 2019

Ragbi Piala Dunia : Afrika Selatan ke separuh akhir

  • Published in Sukan

JEPUN - Kempen tuan rumah, Jepun berakhir apabila skuad Brave Blossoms itu dinafikan kemaraan oleh Springboks.

Sekaligusnya menyaksikan Afrika Selatan yang menang 26-3, mara ke separuh akhir kejohanan berprestij dunia itu buat kali kelima, untuk memburu kejuaraan ketiga.

Stadium Tokyo yang berkapasiti hampir 50 ribu orang, dipenuhi penyokong merah putih, pembakar semangat untuk skuad Brave Blossoms mengulangi sejarah 2015 'Miracle of Brighton' ketika mereka membuat kejuatan menewaskan Springboks.

Bagaimanapun empat minit perlawanan bermula, Springboks mendapat try pertama menerusi Makazole Mapimpi, tetapi Handre Pollard gagal menyempurnakan conversion.

Tuan rumah terus memberi tentangan sengit dan akhirnya berjaya mengutip tiga mata menerusi penalti.

3 mata yang diperoleh menerusi Yu Tamura itu menggamatkan Stadium Tokyo.

Tamura adalah pemain yang banyak memungut mata dalam Piala Dunia kali ini.

Kedudukan 5-3 itu kekal hingga tamat 40 minit separuh masa pertama.

Pertarungan lebih menarik di separuh masa kedua, namun Springboks dilihat lebih bertenaga dan rentak itu sukar diikuti Jepun.

Selepas Afrika Selatan menyempurnakan tiga penalti untuk kedudukan 14-3, giliran scrum-half Faf de Klerk pula melakukan try minit ke-66 dan conversion disudahkan Pollard untuk skuad Rassie Erasmus selesa dengan 21-3.

Empat minit kemudian, try dilakukan Mapimpi terus menambah derita Jepun, 26-3 hingga tamat 80 minit perlawanan, membawa Springboks menghampiri kejuaraan ketiga mereka.