Saturday, December 16, 2017
vital-top
updated 2:39 PM UTC, Dec 16, 2017

Frost Yakin Malaysia Layak Ke Piala Thomas 2016

  • Published in Sukan

 

Genting Highlands -  Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen yakin skuad negara akan layak ke Piala Thomas walaupun membariskan pemain muda di Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) bulan depan.

Bagi Frost kedudukan Malaysia pada ranking keenam Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sudah cukup memberi peluang kepada mereka layak ke kejohanan dwitahunan itu yang akan dilangsungkan di Kunshan, China dari 15-22 Mei.

BATC yang diadakan dari 15-21 Feb turut menjadi pentas kelayakan bagi negara bertanding untuk merebut tiket ke Piala Thomas.

Frost berkata bagi Piala Thomas, empat slot diberikan untuk Asia dan Eropah dan masing-masing satu untuk juara bertahan dan tuan rumah manakala Afrika, Pan Amerika dan Ocenia akan diwakili juara masing-masing.

"Baki tiga tempat akan menjadi rebutan pasukan lain mengikut ranking dunia dan dengan kedudukan di tempat keenam, tiada sebab untuk kita tidak layak ke China walaupun jika gagal mencapai keputusan yang diharapkan di India," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BAM yang pertama bagi 2016.

Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung, Ng Chin Chai serta anggota lain.

Mengenai penyenaraian dua pemain muda - Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven -- yang masing-masing berusia 20 tahun untuk BATC, Frost berkata pemilihan mereka adalah berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan dalam ranking dunia.