Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

Jabatan Imigresen Sedia Lorong Khas Di Klia Untuk Kontinjen Sukan SEA, Para Asean

SEPANG - Jabatan Imigresen Malaysia akan menyediakan empat lorong khas di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bagi memudahkan urusan masuk dan keluar kontinjen Sukan SEA dan Para ASEAN (KL2017).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata kemudahan bagi menyambut kira-kira 10,000 tetamu sukan itu turut disediakan di klia2 dan pintu masuk venue lain seperti Lapangan Terbang Antarbangsa Langkawi, Kedah, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.

Bagi melancarkan proses ketibaan, kemudahan pengecualian visa turut diberikan kepada kontinjen Myanmar serta jurulatih yang berasal dari negara yang memerlukan visa untuk memasuki Malaysia seperti India dan China bermula 10 Julai, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersempena pelancaran kerjasama  strategik kedua-dua pihak di KLIA di sini.

Edisi ke-29 Sukan SEA akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN dijadual dari 17 hingga 23 Sept.

Sementara itu, Khairy berkata beliau yakin kerjasama itu dan keupayaan Jabatan Imigresn dalam pengendalian urusan di KLIA yang diiktiraf dunia mampu memberikan kenangan manis kepada seluruh kontinjen yang akan berkunjung ke negara ini.

Selain Jabatan Imigresen, kementerian melalui jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc) turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam menjamin kelancaran urusan setiap kontinjen di lapangan terbang, katanya.

Untuk itu, katanya pasukan ketibaan dan pelepasan Masoc akan bekerjasama rapat dan bermesyuarat dengan tiga pihak terbabit bagi memastikan setiap perancangan berjalan seperti yang diinginkan.

Khairy berkata pihaknya juga akan menyediakan kaunter akreditasi di lokasi strategik di KLIA dan lokasi ketibaan lain bagi memudahkan kontinjen mendapat pas perakuan sebelum diiringi menaiki pengangkutan untuk ke tempat penginapan.

((BERNAMA))