Sunday, August 20, 2017
vital-top
updated 2:50 AM UTC, Aug 20, 2017

Persiapan Sukan SEA: Skuad Sepak Takraw Wanita 'Berkampung' Di Hat Yai

KUALA LUMPUR - Skuad sepak takraw wanita negara akan ''berkampung'' di Hat Yai, Thailand selama dua minggu bermula 8 Julai ini sebagai persiapan akhir menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jurulatih skuad berkenaan, Mohd Fikri Mohd Nor berkata, skuad wanita negara yang terdiri daripada 17 pemain itu akan menyertai beberapa aksi persahabatan dan pertandingan dengan beberapa kelab tempatan di sana.

Beliau berkata pada sidang media Program Kita Juara acara sepak takraw di sini.

Mohd Fikri yang mula mengendalikan skuad wanita kebangsaan sejak 2009 berkata skuad itu disasarkan untuk memperbaiki kutipan pingat gangsa dalam acara antara regu yang diraih pada edisi 2015 di Singapura.

Katanya, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Indonesia dijangka menjadi pencabar kepada skuad negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Beliau berkata senarai akhir pemain  akan diumumkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Ahmad Ismail.

Ketua pasukan skuad wanita kebangsaan, Siti Norzubaidah Che Abdul Wahab berkata  moral pasukan itu kini ditahap terbaik bagi memperbaiki pencapaian pingat gangsa di Singapura dua tahun lepas.

((BERNAMA))