Logo

'Info On Wheels' - Hebahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan


LABUAN, 21 Mac
- Tidak hanya bergantung kepada pengumuman menerusi televisyen, radio dan media sosial, Jabatan Penerangan (JAPEN) Labuan mengambil langkah pro-aktif dengan menyebar luas pematuhan masyarakat terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, menerusi program ‘Info On Wheels’ (I-O-W).

5 kakitangan JAPEN Labuan diketuai Pengarahnya, Supian Musa, bergerak di sekitar pusat bandar, kawasan kampung dan perumahan, melaksanakan program itu.

Menurut Supian, sebaran maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan tidak seharusnya terhad di media sosial sahaja, bahkan boleh dilakukan menerusi kaedah penerangan secara terus di lapangan.

Ia inisiatif JAPEN Labuan, bagi memberi maklumat kepada rakyat tentang mekanisme pelaksanaan perintah berkenaan, dalam usaha menangani penularan COVID-19, khususnya di bandar tersebut.

Antara informasi yang dikongsikan, mengenai larangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan serta cara-cara pembersihan diri dan kawasan kediaman bagi mengekang penularan virus itu.

Beliau berharap, informasi yang diberi dapat dipraktikkan masyarakat Labuan, dalam usaha membendung penularan wabak yang semakin membimbangkan itu.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.