Bantuan makanan untuk pelajar UIAM Kuantan

KUANTAN, 21 Mac - 300 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan yang tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, menerima sumbangan makanan daripada Pejabat Parlimen Indera Mahkota.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Hussainordin Yaakub yang mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sumbangan tersebut sebagai membantu pelajar berkenaan mendapatkan makanan sehingga 31 Mac ini.

Beliau juga memohon agar pelajar dan pihak UIAM mengikut Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menjalani tugas mereka.

Beliau juga memuji usaha UIAM yang memberi kerjasama kepada pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak covid-19.

Dalam tempoh tersebut, beliau berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan cuti dengan melakukan pelbagai aktiviti dalaman seperti mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan.