Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

Insiden kekecohan penyokong Indonesia di GBK : FIFA denda PSSI USD45,000

  • Published in Sukan

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda USD45,000 oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA, susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta ketika pertemuan dengan Malaysia bulan lalu.

Kekecohan itu ditimbulkan penyokong Indonesia ketika aksi pertama Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada 5 September lepas.

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria berkata, PSSI akan membayar denda tersebut, sambil mendedahkan badan induk itu akan menilai semula prosedur keselamatan di venue berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan dalam bola sepak Indonesia supaya bekerjasama dalam mewujudkan nilai murni dalam sukan berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM sebelum ini membuat aduan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia  dan FIFA susulan tindakan liar penyokong Indonesia yang dikatakan cuba menyerang dan menimbulkan provakasi terhadap pemain dan penyokong Malaysia selepas perlawanan berkenaan.

Pada perlawanan itu, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2.