Impak Perintah Kawalan Pergerakan : Johor mohon pengecualian tertentu

JOHOR BAHRU, 18 Mac - Kerajaan Negeri Johor akan memohon pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan bagi beberapa perkhidmatan pembekalan untuk meneruskan perjalanan harian antara Malaysia-Singapura. Ia hanya melibatkan perkhidmatan seperti bas pekerja, kenderaan yang membawa bekalan, juruteknik, pemegang pas pekerja kedua-dua negara serta pelajar.

Pergerakan untuk tujuan selain itu seperti pelancongan dan ziarah, kekal dilarang.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan selepas mesyuarat bersama wakil dari Singapura selewat-lewatnya esok.

Sekiranya perkara itu diluluskan, langkah pencegahan menerusi pemeriksaan kesihatan yang ketat akan dilaksanakan di laluan pintu masuk di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar.