Monday, December 9, 2019
updated 4:54 AM UTC, Dec 9, 2019

Strategi pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuahkan hasil

  • Published in Sukan

 

 

 

BUKIT JALIL - Strategi pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe meletakkan pemain muda dalam kesebelasan utama, menjadi, apabila Malaysia menang bergaya ke atas Sri Lanka 6-0.

Muhammad Syafiq Ahmad yang turun sebagai penyerang utama beraksi cemerlang dengan meledak hatrik.

Sungguhpun kemenangan ke atas pasukan Singa Emas itu sudah dijangka, namun ia merupakan perlawanan terbaik bagi Harimau Malaya sebelum berdepan Vietnam, 10 Oktober ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu Malaysia tidak menunggu lama apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-8 oleh Syafiq Ahmad yang menyudahkan hantaran lintang Muhammad Safawi Rashid.

Berselang lima minit, Malaysia sekali lagi mencetak gol melalui pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad yang menyudahkan sepakan penjuru Safawi Rashid.

Harimau Malaya terus mengaum dengan gol ketiga menerusi Norshahrul Idlan Talaha minit ke-16.

Bersambung babak kedua, giliran Akhyar Rashid pula mencipta gol apabila menyempurnakan hantaran lintang Norshahrul Idlan minit ke-50.

Syafiq Ahmad mencetak dua lagi gol peribadi untuk muncul hatrik masing-masing menerusi gol mudah minit ke-75 dan rembatan voli minit ke-88 untuk Malaysia menamatkan perlawanan menewaskan Sri Lanka 6-0.

Kemenangan itu dilihat sedikit sebanyak mampu memberi suntikan semangat buat skuad Harimau Malaya untuk berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi Khamis ini.