Kapal layar terkandas, 4 mangsa diselamatkan

 

LANGKAWI, 16 Mac - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi menggerakkan Operasi Menyelamat susulan sebuah kapal layar 'SWORD FISH' mengalami kerosakan berhampiran Pulau Enggang, tengah malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin W1 Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata, PPM Langkawi telah menggerakkan bot ronda ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

Bot ronda berkenaan berjaya mengesan kedudukan kapal layar tersebut dua jam kemudian.

Bagaimanapun keadaan laut bergelora dan angin kuat menyukarkan usaha merapati kapal layar berkenaan.

Situasi itu menyebabkan semua mangsa mengambil tindakan terjun dari kapal layar tersebut dan diselamatkan anggota penyelamat.

Kesemua 3 lelaki tempatan berusia 28 hingga 60 tahun dan seorang wanita warga Thailand berusia 33 tahun dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin di Bukit Malut dan diperiksa pasukan perubatan Hospital Sultanah Maliha Langkawi.