Wednesday, August 23, 2017
vital-top
updated 7:57 AM UTC, Aug 23, 2017

Sebutan Semula Kes Bekas Pemain Bola Sepak Atur Perlawanan 11 Julai

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 11 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dua bekas pemain bola sepak yang didakwa menawarkan suapan kepada pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), bulan lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat ketetapan itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Karmila Mokhtar.

Terdahulu, Karmila memohon mahkamah menangguhkan kes, berikutan serahan dokumen yang belum lengkap.

Pada 28 April lalu, tertuduh Khairul Anuar Baharum, 43, atau lebih dikenali sebagai Ah Chong dan G. Prem Kumar, 49, didakwa menawarkan suapan masing-masing RM10,000 kepada Mohd Khairul Izzuwan Shaari dan S. Harivarman iaitu penjaga gawang dan pemain MISC-MIFA.

Suapan itu bertujuan mengatur perlawanan antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak yang berlangsung pada 7 April lalu, supaya tewas 2-0.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Ah Chong diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Prem Kumar diwakili N. Yohendra.

Sementara itu, Fathiyah turut membenarkan permohonan Yohendra supaya Prem Kumar melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, setiap bulan.

((BERNAMA))