Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

Stadium Sultan Ibrahim, stadium baharu JDT

  • Published in Sukan

JOHOR, 23 Feb - Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi berpindah ke stadium baharu pasukan itu, Stadium Sultan Ibrahim.

Perasmiannya disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam tadi.

Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plak perasmian stadium yang dibina empat tahun lalu dan siap sepenuhnya tahun ini dengan kos bernilai RM200 juta itu.

Ia dilengkapi dengan rumput padang asli Zeon Zoysia, sistem pengaliran air dalam padang, serta sistem lampu sorot LED.

Turut berangkat ke upacara itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail menerusi kenyataan akhbar yang diedar kepada media bertitah, pembukaan stadium itu merupakan satu lagi lembaran baharu dalam sejarah kelab berkenaan.

Stadium yang berkapasiti 35,000 penonton, dan berkeluasan 140,000 meter persegi tersebut, secara tidak langsung meneruskan lagi aspirasi JDT mencipta penanda aras baru dalam bola sepak Negara.

Acara perasmian yang dihadiri kira-kira 30,000 peminat bola sepak turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Datuk Ismail Karim.