Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Liga bola sepak Malaysia : MFL bantu Felda United

  • Published in Sukan

BANGI - Felda United berpuas hati dengan cara serta bantuan yang diberikan Malaysian Football League (MFL) kepada mereka setakat ini dan berharap akan lebih banyak perubahan positif dicapai pada Mesyuarat Tahunan Rakan Kongsi Liga ketiga, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, beliau juga mahu melihat lebih banyak penyelarasan antara MFL dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ini bagi memudahkan gerak kerja yang sedang dilakukan terutama dalam Next50 Strategic Blueprint MFL selain Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM, F:30.

Selain itu, beliau juga mahu melihat MFL akan terus bersikap proaktif dan sentiasa mengadakan perjumpaan dengan persatuan negeri dan kelab bagi merungkai setiap permasalahan yang berlaku setiap pasukan.

Dalam masa sama, Afizal menjelaskan MFL begitu serius dan komited membantu pihak Felda United terutama dalam soal pemasaran memandangkan pihaknya mahu berdiri atas kaki sendiri mulai musim depan terutama dalam soal penjanaan kewangan.

Perkara itu jelas melegakan Felda United yang kini sudah menemui beberapa formula terbaik meraih pendapatan sendiri bermula musim depan tanpa terlalu bergantung 100 peratus dana daripada pihak lain.