Friday, October 18, 2019
updated 11:50 AM UTC, Oct 18, 2019

Kelayakan Piala Dunia, Malaysia tewas tipis

  • Published in Sukan

 

 

KUALA LUMPUR - Kelebihan gol pembukaan skuad harimau malaya seawal 33 saat permainan bermula, belum cukup untuk membantu skuad negara menamatkan kemarau 10 tahun dalam pertemuan dengan pasukan terbaik Asia, Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Pertemuan itu menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tewas tipis 1-2 kepada pasukan di ranking ke-65 dunia itu.

Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan lebih 43 ribu penyokong tuan rumah sebaik para pemain memasuki padang.

Sorakan bertambah gemuruh sebaik tandukan Mohd Syafiq Ahmad yang menerima hantaran Matthew Davis berjaya menerjah gawang UAE seawal 33 saat permainan bermula.

Gol pembukaan ini menaikkan lagi semangat skuad negara selepas itu namun banyak percubaan di 20 minit pertama, gagal menemui penyudah.

Kelebihan gol pertama negara itu dihapuskan oleh Ali Ahmed Mabkhout yang menyudahkan hantaran Mohamed Saleh Almenhali dua minit sebelum babak pertama tamat untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pada babak kedua, akibat kelalaian pertahanan negara, Ali mudah menggandakan jaringan pada minit ke 75 apabila terlepas daripada kawalan Shaarul Saad dan Adam Azlin, untuk menewaskan penjaga gawang Farizal Marlias.

Empat minit kemudian Safawi Rashid bangkit untuk menyamakan kedudukan namun ledakannnya sekadar menggegar palang gol pelawat dan keputusan 2-1 memihak skuad Al-Abyad kekal hingga pengadil Horiyuki Kimura meniupkan wisel penamat.

Tanpa sebarang mata, skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini kekal dengan tiga mata, menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan.

Selepas ini, Harimau Malaya dijadual menentang Vietnam di gelanggang lawan pada 10 Oktober sebelum melayan kunjungan negara jiran, Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 November.