Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 4:35 PM UTC, Oct 17, 2017

Hujan Lebat Dan Suhu Sejuk Antara Cabaran Hari Pertama Pendakian

POKHARA - Hujan lebat secara tiba-tiba di pertengahan jalan dan suhu mencecah 22 darjah celsius pada pendakian hari pertama antara cabaran misi Annapurna 2017 Media dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagaimanapun, persiapan rapi setiap peserta cabaran tersebut berjaya diatasi dan kesemua peserta selamat tiba di Jhinudanda merupakan tempat rehat hari pertama setelah mengharungi pendakian kira-kira enam jam.

Sebelum itu, kumpulan dianggotai 62 pengamal media, anggota dan pegawai JBPM memulakan pendakian dari Siwai berketinggian 1,300 meter pada 11 pagi waktu tempatan.

Hujan lebat dan petir di Aufue Danda kira-kira 2 petang waktu tempatan menyebabkan sebahagian peserta ekspedisi terpaksa berteduh lebih sejam sebelum memulakan kembali pendakian.

Menurut ketua pendaki Mohd Fakrhrul Munir Mohd Isa perubahan suhu merupakan antara cabaran lazim yang terpaksa dihadapi pendaki yang hendak ke Kem Pangkalan Annapurna, Nepal.

Ekoran  itu, beberapa peserta ekspedisi dilaporkan tidak sihat  termasuk  mereka yang mula menunjukkan simptom penyakit akut ketinggian (AMS).

Ekspedisi pada hari kedua esok akan menuju ke Bamboo yang terletak pada ketinggian 2,400 meter dan dijangka lebih mencabar dengan pendakian mengambil masa lapan jam.

Mohd Fakrhrul berkata peserta akan berdepan dengan laluan tangga yang lebih banyak dan menegak dan ia melibatkan perjalanan sejauh 15 kilometer.

((BERNAMA))