Logo

SMKWP dibuka esok bantu peniaga kecil B40

PUTRAJAYA, 17 Feb - Peniaga kecil dari kumpulan berpendapatan rendah B40 sekitar Wilayah Persekutuan boleh mendapatkan pinjaman pembiayaan sehingga RM5,000 melalui Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP).

Menawarkan bayaran balik serendah RM20, permohonan skim itu dibuka mulai esok, dan bakal dinikmati mereka yang berkelayakan mulai 1 Mac depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ketika mengumumkan perkara tersebut menjelaskan, dana pinjaman sejumlah RM500,000 disediakan bagi peringkat permulaan untuk membantu usahawan kecil sedia ada mengembangkan perniagaan mereka.

Berbanding program pinjaman sedia ada yang turut menyasarkan peniaga kecil, kaedah pembayaran skim ini lebih mudah iaitu tempoh bayaran antara satu hingga tiga tahun dengan caj pentadbiran hanya dua peratus, dan dikenakan sekali sahaja.

Ia bakal diuruskan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Bank Islam untuk disalurkan kepada kumpulan sasar iaitu pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

Pemohon boleh mendapatkan borang di pejabat YWP di Kampong Bharu, Kuala Lumpur atau mengubungi talian 03 2698 3073 atau 2073.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.