Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 4:35 PM UTC, Oct 17, 2017

Kayuhan Solo Khairil Aslan Masuk Hari Ke-12

SUNGAI PETANI - Memasuki hari ke-12 ekspedisi Kayuhan Solo ''Dari Masjid Ku Menjelajah 2017'', pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid, hari ini memulakan perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Baling seterusnya ke Grik, Perak.

Khairil Aslan, 42, yang tiba di Sungai Petani kira-kira 7.25 malam tadi, singgah di Masjid Sultan Mudzaffar Shah, di sini, dan beriktikaf semalaman sebelum memulakan kayuhan bermula 10.30 pagi tadi.

Khairil Aslan berkata sepanjang perjalanan dari Masjid Zahir, Alor Setar menuju ke Sungai Petani, semalam, dia diberi ujian kecil apabila dua kali tayar belakang basikalnya, pancit.

Anak kelahiran Perak ini, berkata selepas bertolak dari Masjid Zahir, beliau berkesempatan singgah di Masjid Al-Furqan, Alor Setar dan Masjid Al-Islah Simpang Tiga, Sungai Daun, Yan, sebelum tiba di Masjid Sultan Mudzaffar Shah, Sungai Petani.

Khairil Aslan berkata dia meletakkan sasaran kayuhan sejauh 100 kilometer sehari selain berazam menghabiskan 30 juzuk al-Quran sepanjang 30 hari ekspedisinya.

Sebelum berlepas, Khairil Aslan berkesempatan menyampaikan cenderamata kepada Imam Masjid Sultan Mudzaffar Shah, Wan Ahmad Alauddin Abd Rahman.

Sementara itu, ekspedisi sejauh 2,700 kilometer yang bermula 16 April lalu, bermula di Masjid Bandar Seri Putera, Bangi, dijangka berakhir 12 Mei ini di lokasi sama.

((BERNAMA))