Wednesday, August 23, 2017
vital-top
updated 7:57 AM UTC, Aug 23, 2017

Cuaca Panas, Angin Kencang Tidak Bantut Misi Kayuhan Solo Khairil Aslan

ALOR SETAR - Cuaca panas dan angin kencang sepanjang kayuhan dari Kuala Perlis, Perlis ke Masjid Zahir, di sini sedikit pun tidak membantutkan misi kayuhan pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rashid untuk meneruskan ekspedisi Kayuhan Solo ''Dari Masjid Ku Menjelajah''.

Khairil Aslan, 42, yang tiba di Kuala Perlis pada 11.30 pagi semalam memulakan kayuhan sejauh 50 kilometer (km) menuju ke Masjid Zahir, di sini pada 10 pagi tadi.

Khairil Aslan memulakan kayuhan pada pukul 10 pagi dari Kuala Perlis dan berhenti di masjid ini untuk menunaikan solat zohor sebelum meneruskan kayuhan sejauh 70km menuju ke Sungai Petani.

Walaupun kepenatan, Khairil Aslan berkata beliau gembira kerana dapat bertemu dengan penduduk tempatan yang ramah selain dapat menambah ilmu berkaitan sejarah masjid lama dan baharu yang ada di setiap daerah.

Beliau memilih masjid sebagai tempat persinggahannya sepanjang ekspedisi yang bermula 16 April lepas sebagai usaha untuk mendekati masyarakat setempat khususnya golongan belia di samping berkongsi pengalaman sebagai pendaki dan pengayuh basikal secara solo.

Ekspedisi selama 30 hari sejauh 2,700km itu bermula pada 16 April lepas di Masjid Bandar Seri Putera, Bangi sebelum berakhir di masjid sama pada 12 Mei dan ia merupakan latihannya untuk Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki selama 67 hari bermula Jun ini.

((BERNAMA))