Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Felda United Unggul Di Persada Liga Premier

  • Published in Sukan
Foto - BERNAMA

9 JUN: KUALA LUMPUR - Pendahulu Liga Premier, Felda United mengekalkan kedudukan teratas liga selepas menang tipis 3-2 ke atas Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam tadi.

Kemenangan ke-11 berkenaan membolehkan skuad ‘The Fighters’ mengumpul 36 mata setelah mengharungi  15 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Jengka, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pemain pelawat, Bruno Junichi Suzuki pada minit ke-37 sebelum D. Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan pada minit ke-46.

Felda United berjaya meraih dua lagi gol menerusi pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-63 dan minit ke-70, sebelum pemain import dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu mengurangkan defisit jaringan untuk TFC II pada minit ke-84.

Dalam pada itu, pasukan bawahan liga, UKM FC mencipta kejutan selepas meleburkan rekod tanpa kalah Felcra FC menerusi kemenangan 2-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Faiz Hafiz Adnan seawal minit kelima perlawanan dan pemain import dari Nigeria, Michael Chukwubunna Ijezie pada minit ke-38.

Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pula naik dua anak tangga ke kedudukan ketujuh liga setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 hasil jaringan Darren Lok pada minit ke-61 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain JDT, Muhammad Fazly Mazlan dan pemain PDRM, Argzim Redzovic, kedua-duanya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Muhammad Rahmat Jantan kerana bergaduh pada minit ke-84.

((BERNAMA))