Saturday, 8 August 2020

updated 2:27 AM UTC, Aug 8, 2020

Badminton Berpasukan Asia: Pasukan lelaki, wanita mara ke suku akhir

  • Published in Sukan

MANILA, 14 Feb - Skuad lelaki negara akan bertemu Korea Selatan, manakala skuad wanita akan berdepan dengan Taiwan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Bepasukan Asia di Filipina.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, skuad lelaki muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan India 4-1 dan meraih kemenangan mudah 5-0 ke atas Kazakhstan pada aksi pembukaan.

Pada perlawanan di Rizal Memorial Coliseum, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menyumbangkan mata pertama Malaysia apabila menundukkan B. Sai Praneeth, 21-18, 21-15.

Rentak cemerlang pemain berada di ranking ke-14 dunia itu diteruskan oleh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang hanya mengambil masa 31 minit untuk mengatasi gandingan M.R. Arjun-Chirag Shetty, 21-18, 21-15.

Sementara itu, skuad wanita yang diundi dalam Kumpulan W turut mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun tumpas 2-3 kepada Jepun, kerana hanya dua pasukan bertanding dalam kumpulan itu, selepas undian semula dilakukan pada Isnin lalu, ekoran beberapa negara menarik diri.