Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

5 maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan sebuah treler dan kereta

  • Published in Berita Semasa

SUNGAI SIPUT, 14 Feb - Lima termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, berhampiran Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, Perak pada pukul 10.20 malam .

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta Mohamad Faiz Bakhari, 28 tahun, isteri, Nik Iedayu Nik Hassan, 30 tahun; anak mereka, Muhammad Faqih Iskandar, 2 tahun serta adik Nik Iedayu, Nik Ifeka, 28 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, ketika kejadian mangsa bersama keluarga sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan di restoran berhampiran.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah treler yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan, sebelum dilanggar oleh kereta dipandu Mohamad Faiz.

Akibat kejadian itu, keempat-empat mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala anak sulong mangsa berusia 3 tahun mengalami cedera parah dan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pemandu treler berusia 26 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan ditahan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput Jeffrey Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 10.26 malam sebelum bergegas ke lokasi kemalangan.