Logo

UniKL sah juara liga walaupun berbaki dua perlawanan

BANGI, 13 Feb - Pasukan UniKL dinobat juara Liga Hoki Malaysia 2020 selepas menewaskan Kedah Nurinsafi HT, 9-1.

Gelaran itu dimiliki biarpun masih mempunyai baki dua perlawanan kerana satu-satunya pencabar; TNB tewas di tangan Terengganu Hockey Team.

UniKL bermula garang dengan mendahului dua gol pada suku masa pertama menerusi jaringan Mohamad Marhan Abdul Jalil dan Tengku Ahmad Tajuddin.

Tiga minit suku kedua, UniKL sekali lagi menambah derita lawan dengan gol ketiga selepas Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti hasil hantaran Muhammad Marhan.

Dua minit berselang, penyerang import dari Belanda; Roel Bovendeert meletakkan UniKL di kedudukan selesa dengan gol keempat.

Tersentak dengan jaringan, Kedah Nurinsafi HT menggandakan asakan dan hasilnya, Ismail Abu menyumbang gol pertama menerusi pukulan sudut penalti.

Belum sempat mengatur gerak memburu gol kedua, UniKL sekali lagi melebarkan jaringan dengan gol kelima menerusi Roel Bovendaaet pada minit ke-30.

Masuk suku ketiga, Mohamad Razie membuktikan ketajaman penyudah selepas menjaringkan dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-39 dan 41.

UniKL terus berpesta gol selepas Ashran Hamsani menjaringkan gol kelapan pasukan menerusi gol padang pada minit ke-47.

Mohamad Faiq Farhadh Mohamad Shah melengkapkan kejayaan UniKL dengan gol ke sembilan 12 minit kemudian.

Kejayaan itu menyaksikan UniKL mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan dan kini mengumpul 38 mata, 8 mata di depan TNB.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.