Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

FMLLP Hantar Surat Pemotongan Mata Kepada Lima Pasukan Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

PETALING JAYA - Lima pasukan  bola sepak dalam Liga Malaysia akan  dikenakan hukuman pemotongan mata berikutan kegagalan melunaskan tunggakan gaji kepada pemain mereka sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata FMLLP  akan menghantar surat berhubung pemotongan mata itu esok kepada pasukan terbabit   selepas  tempoh secukupnya diberikan kepada pasukan berkenaan  untuk melangsaikan tunggakan gaji itu.

FMLLP merupakan pentadbir utama bola sepak Malaysia.

"Kita tidak mengumumkan nama kelima-lima pasukan berkenaan kerana tiada tindakan diambil.

"(Namun) setelah surat-surat berkenaan dikeluarkan esok, kita akan buat pengumuman," katanya ketika diminta memberi komen berhubung isu tunggakan gaji.

Ramalingam berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2017 di Ibu Pejabat FMLLP, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya terpaksa melakukan pemotongan mata kepada pasukan terlibat yang dilihat masih gagal menangani isu tunggakan gaji sejak beberapa musim lepas.

"Saya rasa selagi sesuatu tindakan tidak dibuat dengan tegas, maka isu-isu yang melanda Liga Malaysia tidak akan ada penyelesaiannya. Saya berharap bahawa penyokong dan setiap pasukan yang terlibat memahami bahawa bola sepak Malaysia perlu melangkah ke hadapan," tegas Ramalingam.

((BERNAMA))