Thursday, February 27, 2020

updated 3:14 AM UTC, Feb 27, 2020

Tewaskan Kazakhstan 5-0, Malaysia bermula cemerlang di Manila

  • Published in Sukan

MANILA, 12 Feb - Pasukan lelaki negara memulakan aksi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 dengan langkah kanan apabila mudah mengatasi Kazakhstan 5-0 di Manila, Filipina hari ini.

Pada aksi pembukaan Kumpulan B di Kompleks Sukan Memorial Rizal, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama selepas menewaskan Dmitriy Panarin 21-6, 23-12.

Rentak cemerlang skuad negara diteruskan dengan aksi bertenaga dua lagi pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao yang masing-masing menyingkirkan Artur Niyazov 21-15, 21-11 dan Khaitmurat Kulmatov 21-13, 21-13.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula meletakkan Malaysia pada kedudukan selesa 4-0, dengan 19 minit permainan selepas mereka mengalahkan pasangan Artur Niyazov-Dmitriy Panarin 21-11, 21-11.

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula ternyata tidak mengecewakan apabila melengkapkan kemenangan bergaya 5-0, menundukkan Nikita Bragin-Khaitmurat Kulmatov 21-9, 21-4.

Esok, skuad lelaki negara akan berdepan India yang juga merupakan perlawanan penentuan juara kumpulan.

Skuad India sebelum ini menewaskan Kazakhstan 4-1.

Manakala skuad wanita yang diundi dalam Kumpulan W akan berdepan Jepun pada perlawanan pertama mereka.