Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan Berjaya Tumpaskan Juara Olimpik Argentina

  • Published in Sukan
Foto - BERNAMA

2 JUN: KUALA LUMPUR - Malaysia akhirnya menamatkan badi kekalahan dengan menumpaskan juara Olimpik, Argentina 2-1 dalam perlawanan ujian hoki terakhir mereka di Buenos Aires, Argentina pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Skuad hoki lelaki kebangsaan yang sebelum ini tidak pernah menang dalam lima perlawanan dengan pasukan tuan rumah, telah mendahului perlawanan menerusi jaringan padang oleh Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-18 sebelum digandakan oleh penyerang Muhammad Haziq Samsul juga menerusi jaringan padang, empat minit kemudian, menurut laman Facebook Persekutuan Hoki Malaysia  (MHC).

Argentina, dikenali sebagai Les Leones (The Lions), berjaya merapatkan jurang menerusi Pedro Ibarra yang menyempurnakan  pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Bercakap selepas kemenangan itu, ketua jurulatih kebangsaan Stephen Van Huizen jelas gembira dengan kemenangan sulung itu selepas gagal mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu.

Malaysia kalah  0-1, 1-6, 2-7, 1-2  dalam empat perlawanan di Mar Del Plata sebelum seri 1-1 dalam perlawanan ujian kelima di Buenos Aires.

“Mereka mencuba pelbagai taktik dan memaksa pemain untuk bekerja keras bagi kemenangan ini, Keadaan fizikal pemain kita jauh lebih cergas selepas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan tempo permainan amat tinggi,”  kata Van Huizen.

“Semua kerja keras selama tiga minggu lepas telah membantu pemain untuk bertahan sehingga ke akhirnya,” katanya.

Perlawanan ujian itu merupakan sebahagian daripada usaha  Van Huizen untuk membentuk pasukan negara yang mantap sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ogos dengan pasukan negara menaruh harapan untuk memenangi pingat emas dan secara automatik menempah tempat dalam Olimpik Tokyo 2020.

((BERNAMA))