Sunday, August 20, 2017
vital-top
updated 2:50 AM UTC, Aug 20, 2017

Towerthon Menara KL Buka Kategori Untuk Selebriti Tahun Ini

KUALA LUMPUR - Cabaran Towerthon Menara Kuala Lumpur (KL) edisi ke-17 pada 14 Mei bakal memperkenalkan kategori ''selebriti''  bagi menghangatkan lagi acara di lokasi tarikan pelancong itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata kategori itu terbuka kepada mana-mana selebriti yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental masing-masing  untuk mendaki 2,508 anak tangga menawan puncak Menara KL.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 40 penyertaan selebriti diterima dan ia masih  dibuka sehingga 5 Mei.

Meor Shahril berkata larian yang dibahagikan kepada  sembilan kategori itu menawarkan hadiah keseluruhan RM48,500 dan dijangka menarik kira-kira 5,000 peserta dari dalam dan luar negara, antaranya Jerman, Kenya, Amerika Syarikat dan Perancis.

Dalam menyemarakkan lagi ''demam'' Sukan SEA yang dihoskan Malaysia tahun ini, peserta individu lelaki dan wanita Malaysia yang mencatat rekod terbaik akan membawa pulang wang tunai tambahan RM2,000 setiap seorang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula akan  mengadakan perlumbaan ''Bomba Tower Running'' pada 13 Mei sebagai acara sampingan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Menara KL atau melalui  laman web www.menarakl.com.my.


Sumber : BERNAMA